ASSALAMUALAIKUM SEMUA. SENYUM-SENYUM SELALU

Thursday, July 18, 2013

Kaki Novel : Terbaru Ogos 2013


Assalamualaikum

Novel terbaru Kaki Novel untuk bulan Ogos 2013.

3_bulan_2
TAJUK : 3 BULAN
KARYA : NURIL BAHANUDIN

Tiga Bulan membawa kisah seorang gadis yang bernama Nuriz Binti Abdullah. Anak terbuang yang langsung tidak mengenali kedua-dua ibu bapanya dan dibesarkan di Rumah Anak-Anak Yatim Darul Qaseh.

Perjalanan hidupnya mula berubah bila dalam keadaan tak diduga dia telah bertemu dengan Wan Nazariel Bin Dato’ Wan Nazri yang sombong, berlagak dan ego.

Kehidupannya menjadi semakin huru-hara apabila dalam tak sengaja dia telah terlibat dalam kemalangan dengan lelaki itu. Terdesak untuk membayar ganti rugi dek kemalangan itu, Nuriz telah terpaksa rela bekerja dengan lelaki itu sebagai seorang budak penghantar surat selama tiga bulan memandangkan lelaki itu baru saja memecat budak penghantar suratnya.

Dalam tempoh tiga bulan bekerja dengan lelaki itu pelbagai peristiwa telah berlaku hingga mengubah terus kehidupannya. Daripada berstatus ‘cik’ kepada status ‘puan’.

Hidupnya juga bertambah tunggang-langgang dengan kehadiran Dorina yang sentiasa cemburukan dirinya dan kehadiran Zefrul Arham yang tergila-gilakannya.

Sekuat manakah Nuriz menghabiskan tempoh tiga bulannya bersama Wan Nazariel? Mampukah dia menghadapi segala kerenah lelaki itu? Bagaimana dia menepis umpat kejian daripada Dorina dan menyelamatkan diri daripada buruan Zefrul Arham?

“Dalam benci ada rindu yang mengisi, Dalam marah ada sayang yang mula bercambah.”

lulu_2
TAJUK : LU'LU' DAN MARJAN
KARYA : ANARIF

Apabila Marjan muncul di banglo Dato' Safwan, semua orang mencurigainya, lebih-lebih lagi Lu'lu', anak kandung Dato' Safwan. Sikap Lu'lu' yang sedikit baran membuatkan Marjan tercabar dan kerap bertikam lidah dengannya namun, Marjan mengalah apabila mengetahui kisah di sebalik sikap Lu'lu' yang membuatkan dia tidak senang duduk.

Lawatan ke PD membuatkan hubungan si pemandu dan anak gadis tuan rumah itu bertambah baik, dan Marjan semakin jauh dengan misi utamanya yang mencampakkannya ke banglo tersebut. Apabila Marjan terpaksa pulang ke kampungnya secara tiba-tiba, Lu'lu' tidak sedap hati. Musibah menimpa apabila Dato' Safwan meninggal dalam kemalangan ketika ketiadaan Marjan.

Sekembalinya Marjan ke banglo itu, Marjan menjadi suspek utama dan Lu'lu' patah hati apabila Marjan cuma membisu bila tuduhan demi tuduhan dilemparkan kepadanya. Marjan tidak mengaku kalah. Dia sudah bertekad untuk menawan Lu'lu' kembali, walaupun Kartini, kakak angkat Lu'lu' turut mencurigainya.

Marjan melamar, namun penolakan Lu'lu' membuatkan Marjan kembali ke alam nyata. Statusnya
sebagai seorang pemandu tidak cukup buat anak gadis hartawan seperti Lu'lu'. Tanpa mendedahkan identitinya, Marjan pergi untuk selama-lamanya membawa hati yang luka kerana misinya sudah gagal.

Apabila Lu'lu' dalam bahaya, Marjan kembali mendengar kata hatinya dan melompat turun dari takhta. Kali ini, tiada undang-undang yang boleh menghalangnya. Demi Lu'lu', Marjan sanggup kehilangan segala-galanya dan benarlah, cinta itu buta. Tetapi butakah cinta Lu'lu'?

Mengapakah Marjan terpaksa pergi sekali lagi dengan hati yang luka? Bolehkah permata Lu'lu' dan Marjan berdampingan untuk selama-lamanya?


jurnal_2
TAJUK : AISHITERU
KARYA : AIMA CHAN

Siapa sangka, kepulangan Khaleeda Adni ke tanah air dikejutkan dengan kemunculan Adam Daniel yang tanpa belas kasihan menjadikan dirinya tawanan selama sebulan di dalam hutan. Khaleeda tidak tahu kenapa dia diculik dan dihukum sebegitu rupa malah, dia tidak pernah tahu nama pemuda itu sepanjang dia berada di hutan.

“Ya Allah, dia nak buat apa dengan aku sampai gari aku macam ni sekali?” -Khaleeda Adni-
“Dasar perempuan jahat! Kau ingat mak bapak kau nak cari kau ke hah? Anak tak guna macam kau ni, sepatutnya diorang dah tanam hidup-hidup dari dulu lagi.” -Adam Daniel-

Apakah dendam Adam terhadap Khaleeda hingga dia tegar menghukum gadis? Namun semuanya terlerai, saat kisah Khaleesya Adni dan Aidil Sadhi diceritakan oleh Lukman yang tahu segala-galanya. Penyesalan mula hadir namun, semuanya sudah terlambat.

Adam diberi peluang kedua untuk memperbaiki kesalahannya terhadap Khaleeda dan dia sanggup menebus maruah gadis malang itu. Namun, Tengku Akimi muncul menagih janji Khaleeda saat dia sudah terikat. Saat semuanya sudah tidak boleh diundur lagi dan hatinya sudah mula terbuka buat Adam. Segalanya menambah kekusutan dalam hidup Khaleeda dalam mencari erti satu kebahagiaan.

“Khal jangan tipu Kim. Khal tak setia pada janji kita. Empat tahun Kim sanggup tunggu Khal, demi janji yang kita buat. Kenapa Khal terlalu senang lupakan semua tu. Kenapa Khal?” –Tengku Akimi-

“Kenapa kau dapat semua hah Khal! Apa lebihnya kau dari aku? Kau rampas semua daripada aku. Kau rampas nenek, mama, papa Zhar, Kim. Semuaaa!!! Aku benci kau Khaleeda. Aku benci!” –Khaleesya Adni-

Mampukah Khaleeda merasai nikmat sebenar bahagia kerana perjalanan hidupnya tidak pernah sepi dari diganggu dugaan dan derita. Segalanya telah tercoret kemas dalam Jurnal Aishiteru.

“Kucoretkan segala bahagia di sini, agar dapat aku simpan memori bersamamu… I love U.”

Selamat Memberi dan Membaca. Selamat berpuasa.


2 comments:

 
Copyright 2020 Reserved to Syeeda Saniey Design By Cik Nurfarah